Monday, 9 March 2015

MAJLIS PENASIHAT SYARIAH

Sejarah penubuhan Majlis Penasihat Syariah

            Di Malaysia, lebih 50% daripada rakyatnya secara majoriti adalah beragama Islam dan permintaan kepada produk-produk Islam semakin bertambah dari sehari ke sehari. Oleh kerana pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia yang menjadi semakin kompleks dan sofistikated  disebabkan oleh fungsinya yang hampir sehaluan dengan pasaran modal konvensional, ia harus mempunyai prasarana yang cukup bagi membolehkan sistem tersebut beroperasi dan berfungsi dengan lebih efisen dan berkesan. Oleh itu, SC telah merangka beberapa strategi pembangunan yang menyeluruh merangkumi kedua-dua jenis pasaran agar perkembangannya selari dan seimbang.
Untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan secara terancang, SC telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Pasaran Modal Islam pada tahun 1995. Unit ini dianggotai oleh para pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang fiqh muamalat serta mereka yang memahami tentang selok-belok pasaran modal dari sudut produk dan praktisnya. Fungsi utama unit ini adalah untuk menjalankan penyelidikan dari sudut pembangunan produk dan operasi pasaran modal Islam serta merancang konsep sebuah pasaran modal Islam. Sebelum penubuhan unit ini, sekitar tahun 1994 perbincangan secara serius dalam kalangan ahli Syariah, pengamal kewangan Islam dan badan pengawal selia sering diadakan bagi membina kefahaman dan mengenal pasti prinsip-prinsip Syariah yang boleh diaplikasikan untuk mewujudkan sebuah pasaran modal Islam.
Hasil daripada perbincangan dengan pakar-pakar dalam bidang Syariah dan kewangan Islam, SC telah menubuhkan sebuah Kumpulan Penyelidikan Instrumen Islam (KPII). Kumpulan ini dianggotai oleh pakar-pakar Syariah, pengamal kewangan Islam dan perundangan. KPII secara berterusan memberikan input kepada SC ke arah membangunkan pasaran modal Islam. Kewujudan kumpulan ini juga membolehkan pakar-pakar Syariah berinteraksi secara langsung dengan mereka yang terlibat dengan industri pasaran modal.
Peluang ini membolehkan pakar-pakar Syariah lebih memahami tentang produk kewangan serta perjalanan pasaran modal itu sendiri. Dengan cara demikian dapat mempermudah pakar Syariah mendapat pendedahan yang jelas tentang hakikat sebenar pasaran modal dari segala aspek sama ada produk, perkhidmatan, garis panduan dan perjalanannya.
Di samping menilai produk-produk kewangan pasaran modal, sumbangan utama KPII adalah untuk menyediakan platform asas untuk menilai sekuriti-sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia. Sebelum itu, Bank Islam Malaysia Berhad telah mengambil inisiatif untuk membuat penyaringan sekuriti tersenarai di Bursa Kuala Lumpur dan menyediakan ”Senarai Sekuriti Lulus Syariah”. Pihak bank dapat menyediakan senarai ini dengan dibantu oleh para penasihat Syariah bank terbabit. Namun, ia bertujuan untuk kegunaan dalaman dan pelaburan pihak bank sendiri. Menyedari kepentingan menentukan status lulus Syariah bagi sekuriti tersenarai di bursa, fokus utama KPII adalah untuk memberikan input kepada SC tentang asas-asas yang perlu untuk menjadi panduan bagi menilai sesuatu sekuriti itu sebagai patuh Syariah atau sebaliknya.

Kejayaan KPII dalam memberikan input tersebut menjustifikasikan SC tentang perlunya suatu badan lebih formal dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya. Tugas utama badan itu adalah untuk memberi input kepada SC tentang mewujudkan satu sistem pasaran modal Islam secara menyeluruh serta dapat mengharmonikan pandangan Syariah bagi perkara berkaitan dengan isu-isu Syariah dalam pasaran modal. Berdasarkan asas tersebut sebuah badan yang lebih formal telah ditubuhkan pada 16 Mei 1996 bagi menggantikan KPII. Badan ini dinamakan sebagai Majlis Penasihat Syariah (MPS).

 Penubuhan Majlis ini adalah mengikut kuasa-kuasa yang diberikan kepada SC di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498). Seksyen 16 akta ini telah memberi kuasa penuh kepada SC untuk melakukan sesuatu yang wajar dalam menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sekuriti. Kemudiannya seksyen 18, Akta 498 menyebut bahawa SC diberi kuasa untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang boleh membantunya menjalankan tugas berdasarkan Akta. Di samping itu juga SC dibenarkan melantik sesiapa yang layak untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Dengan penubuhan MPS, ia menjadi rujukan di peringkat nasional tentang isu-isu berkaitan dengan pasaran modal Islam. Selaras dengan SC sebagai badan pengawal selia tunggal di Malaysia, MPS yang ditubuhkan mengikut kuasa-kuasa SC di bawah Akta Suruhanjaya dapat mewujudkan suasana harmoni dalam menentukan keputusan-keputusan hukum Syariah mengenai pasaran modal.

Fungsi MPS di dalam Membangunkan Pasaran Modal Islam
Sebagaimana yang telah dijelaskan, selaras dengan fungsi SC sebagai sebuah badan tunggal dalam mengawal selia pasaran modal di Malaysia, MPS yang dibentuk juga menjadi rujukan tunggal dalam soal-soal berkaitan Syariah bagi pasaran modal Islam. Ini kerana MPS diberi mandat untuk memberi nasihat kepada SC dalam semua perkara berhubung dengan pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif. Majlis ini juga menjadi tempat rujukan bagi semua isu yang berkaitan dengan pasaran modal Islam.

Bagi merealisasikan peranan tersebut MPS mengambil dua pendekatan untuk membangun dan memperkenal produk-produk pasaran modal Islam. Pendekatan pertama adalah dengan cara membuat penilaian dan kajian terhadap instrumen pasaran modal yang sedia ada bagi menentukan statusnya dari perspektif Syariah. Untuk itu MPS menumpukan penyelidikan dari sudut struktur, mekanisme dan penggunaan instrumen tertentu di dalam pasaran modal. Kajian ini bertujuan untuk memastikan sama ada terdapat percanggahan dengan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Syara’. Manakala pendekatan kedua adalah dari sudut inovasi; dalam konteks ini MPS merangka dan membentuk instrumen kewangan baru sesuai dengan keperluan pasaran modal berasaskan prinsip-prinsip Syariah.



No comments:

Post a Comment