Friday, 16 January 2015

AL-QABD

1.1.Pengertian al-Qabd
Al-Qabd merupakan satu konsep yang amat penting dalam transaksi jual-beli . Al-Qabd mempunyai maksud yang sama dengan al-taslim iaitu penerimaan. Al-Qabd menurut Ibn Manzur bermaksud menggenggam sesuatu atau mengambil sesuatu dengan tangan secara langsung.[1] Dari segi istilah pula bermaksud penerimaan yang membenarkan berurusan atau bertasaruf dengan harta yang diterima.
Menurut al-Kasani pula, al-Qabd digambarkan sebagai al-takhiliyyah iaitu apabila seseorang penjual itu berjaya melepasi segala halangan yang menyekat di antara barang jualan tersebut dengan pembelinya  maka dengan itu ianya membolehkan pembeli menggunakan barangan tersebut mengikut kehendak mereka. Dengan maksud yang lebih mudah, al-Qabd menurut Al-Kasani  ialah keupayaan untuk berurusan dengan harta yang diterima.[2]
            Secara ringkasnya, al-Qabd membawa maksud penyerahan barang daripada penjual kepada pembeli atau penerimaan barang oleh pembeli daripada penjual. Oleh itu, barang yang telah diterima oleh pembeli dan telah berada dalam haknya adalah barang yang telah diqabdkan. Barang yang telah diqabdkan boleh digunakan oleh pembeli  dan mentasarrufkannya mengikut kehendak mereka.
1.2.Jenis-jenis al-Qabd
Seperti yang telah dijelaskan, al-Qabd membawa maksud penyerahan atau penerimaan  barang belian. Terdapat pelbagai bentuk dan jenis barangan yang diperniagakan oleh manusia. Oleh itu, bentuk penerimaan barangan yang dijualbeli adalah bergantung kepada jenis barangan yang dijualbeli .  Antaranya ialah:-
                                i.            Barangan yang tidak boleh dipindah dan digerakkan seperti rumah dan tanah.
-          Cara al-qabd pada barangan ini telah disepakati oleh para ulama’ iaitu melalui cara al-takhliyyah. Cara al-takhliyyah bermaksud penjual menyerahkan kuasa mengendalikannya kepada pembeli tersebut sama ada penjual memberikan kunci rumah yang dijual itu kepada pembeli atau dia mengambil semua barang miliknya dari rumah tersebut sebagai tanda ruang kosong itu telah dikosongkan untuk pembeli . Dalam erti kata yang lain, penerimaan boleh berlaku dengan cara penjual melepaskan haknya kepada pembeli atau pembeli menguasainya atau penjual mengenepikan segala halangan untuk penyerahannya.[3] Apa yang boleh dilakukan ialah pemindahan hak miliknya sahaja dalam keadaan kedudukan barang jualan tidak berubah dari tempat asal.
                              ii.            Barangan yang boleh dipindahkan dan digerakkan seperti kereta, makanan, pakaian, buku, perabot dan sebagainya.
-          Para ulama, mempunyai pendapat yang berbeza dalam penentuan cara qabd barangan jenis ini. Sebahagian para ulama’ seperti ulama’ mazhab Hanafi, satu pendapat daripada mazhab Hanbali, satu pendapat daripada mazhab Syafei, mazhab Shiah, Zaydiyyah dan Zahiriyyah berpendapat bahawa Qabdnya barangan jenis ini adalah memadai dengan al-takhliyyah. Walaubagaimanapun sebahagian ulama’ lain berpendapat bahawa qabd barang boleh alih itu memadai dengan mengikut kebiasaan orang ramai sahaja. Sebahagian pendapat yang lain pula berpendapat jika is boleh dipegang dan dibawa, maka qabdnya ialah dengan memegang dan membawa barangan tersebut. Jika barang tersebut boleh bergerak, maka qabdnya itu mestilah mengerakkannya.
                            iii.            Jual-beli barangan melalui timbangan atau sukatan seperti beras, bijian, gandum dan sebagainya.
-          Mazhab Maliki, Hanbali dan Zahiri berpendapat bahawa qabd barang tersebut ialah apabila barang tersebut sempurna disukat danditimbang tanpa disyaratkan berpindah tangan. Pendapat ini agak ganjil kerana penyerahan dan penerimaan barang tersebut belum diterima lagi tetapi qabdnya telah diiktiraf berlaku dengan sempurnanya sukatan dan timbangan. Berbeza dengan mazhab Hanafi yang mengatakan bahawa memadai qabdnya itu dengan al-takhliyyah.  Bagi ulama’ Syafei pula mensyaratkan barangan tersebut mestilah disukat dan ditimbang terlebih dahulu dan kemudiannya barulah berpindah kepada pembeli maka barulah sempurna qabdnya.
Kesimpulannya, penerimaan mestilah berlaku dengan kebenaran penjualnya kerana pada asalnya barangan tersebut adalah miliknya. Oleh itu, barangan tersebut tidsk boleh diambil tanpa keizinannya. Secara keseluruhannya, Qabd itu ialah mengikut uruf kebiasaan orang ramai kerana pada asasnya tiada nas yang jelas menerangkan bentuk-bentuk qabd ini.
1.3.Bentuk-bentuk Qabd
Dalam undang-undang islam, bentuk al-qabd dibahagikan kepada dua iaitu qabd haqiqi dan qabd ma’nawi. Qabd haqiqi juga dikenali sebagai qabd hissi yang bermaksud penyerahan berlaku dalam bentuk zahir. Sebagai contoh, penjual menyerahkan barangan jualan ke tangan pembeli dan pembeli menerima barangan tersebut. Qabd haqiqi hanya berlaku terhadap dua jenis harta iaitu harta alih seperti kenderaan, barangan perniagaan, dan sebagainya serta harta taak alih seperti tanah dan rumah. Qabd ma’nawi pula ialah penyerahan yang berlaku secara tidak zahir. Qabd ma’nawi ini juga dikenali sebagai qabd hukmi[4].
Bentuk-bentuk qabd yang berlaku secara hukmi adalah seperti pembukaan gudang, ganti rugi akibat kerosakan barangan dan lain-lain. Walaubagaimanapun, para ulama’ berpendapat bahawa cara serahan itu sebenarnya ditentukan oleh uruf atau adat masyarakat setempat.
1.0.Al-Qabd dalam Akad-Akad Transaksi yang Diamalkan oleh Perbankan Islam Di Malaysia
Doktrin al-uruf diklasifikasikan sebagai sumber yang tidak disepakati penggunaaannya oleh ulama’-ulama terdahulu. Walaubagaimanapun, doktrin uruf ini banyak mempengaruhi unsur-unsur penentuan hukum dalam fiqh muamalat. Hukum yang disandarkan kepada uruf boleh berubah sekiranya uruf yang disandarkan itu berubah. Instrumen yang terdapat di dalam perbankan islam di Malaysia pula telah diasaskan oleh prinsip-prinsip muamalah yang telah wujud dalam buku-buku silam. Namun begitu, prinsip-prinsip muamalah ini tidak diambil secara terus daripada pendapat ulama’silam, tetapi dikaji dan dinilai berasaskan uruf tempatan. Kebanyakan hukum-hukum fiqh muamalah klasik yang bersandarkan kepada uruf tempatan mereka telah mengalami perubahan apabila disandarkan kepada urusniaga kewangan moden.
 Penerimaan qabd dalam konteks pasaran kewangan dan perbankan islam adalah meluas dimana konsep qabd  banyak menyentuh isu-isu seperti Bai’ ad-dayn, hibah, pertukaran mata wang asing, kontrak hadapan minyak sawit mentah(CPO) dan urusniaga kontra. Kedudukan al-qabd dalam kewangan islam dan perbankan islam ini adalah sebagai penyempurna kepada akad-akad yang terdapat dalam perbankan islam. Dimana al-qabd ini perlu digunakan dalam sesetengah akad yang wujud di dalam perbankan islam supaya akad tersebut sah dan sempurna transaksinya.



[1] Noor Lizza Bt Mohamed Said, Mohd Ridzuan Bin Awing  & Amir Husin Bin Mohd Nor, “Qabd dan hukum penarikan balik hibah,” Jurnal Muamalat, bil.3 (2010): 159.
[2] Hairon Zainal Abidin, “Permasalahan Gharar Dalam Urusniaga Saham Di Bursa Saham Kuala Lumpur”(Masters Thesis, Universiti Malaya, 2003), hlmn 80-83.
[3] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafei (Kuala Lumpur: Pustaka Alam Sdn Bhd, 2011), Jilid 6, hlmn 1213.
[4] Ahmad Sufyan Che’ Abdullah, Aplikasi Doktrin Al-Urf Dalam Instrumen Pasaran Kewangan Islam Di Malaysia, (thesis, Universiti Malaya, 2002), hlmn 103-104.

Friday, 9 January 2015

Bay Inah vs Tawarruq

Bay'inah vs Tawarruq
Perbezaan Antara Bay’ Al-Inah Dan Al-Tawarruq


Perkara
Bay’ al inah
Al-tawarruq
Definisi
Bay‘ al-‘inah merujuk kepada jual beli yang berlaku antara penjual dan pembeli di mana penjual menjual asetnya kepada pembeli dengan harga yang tinggi dan dibayar secara beransur-ansur. Kemudian, sebaik sahaja selesai jual beli pertama, penjual membeli semula aset tersebut daripada pembeli dengan harga yang lebih rendah daripada jualan pertama secara tunai.
Sebab dinamakan dengan bay‘ al-‘īnah kerana pembeli (pelanggan) mendapat al-‘ayn iaitu al-nuqud (wang) yang diperlukannya.
Al-Tawarruq adalah satu bentuk jual beli yang melibatkan pembelian sesuatu barang secara tangguh dan kemudian barang itu dijual secara tunai dengan harga yang lebih rendah daripada belian yang pertama kepada pihak yang ketiga di mana pihak ketiga ini bukanlah penjual asal.
Konsep ini dinamakan dengan al-tawarruq, kerana pelanggan ketika membeli sesuatu barang ia tidak berniat untuk menggunakannya atau memanfaatkannya, namun ia hanya bertujuan untuk mendapat al-wariq iaitu mendapat wang.



Hukum
Ulama yang mengharuskannya ialah:
i. Mazhab Syafi‘i
ii. Abu Yusuf
Ulama yang tidak mengharuskannya ialah:
i. Mazhab Maliki
ii. Mazhab Ḥanbali
Ulama yang mengharuskannya ialah:
i. Mazhab Maliki
ii. Mazhab Ḥanbali
iii. Abu Yusuf
Ulama yang tidak mengharuskannya ialah:
i. Ibn Taymiyyah
ii. Ibn Qayyim
Ulama yang mengatakan hukumnya adalah makruh:
i. Muḥammad al-Ḥassan al-Syaybani
Bilangan orang yang terlibat
2 orang
3 orang atau lebih
Gambaran perjalanan transaksi
     i.            Bank menjual barang X kepada pembeli (pelanggan) dengan harga tangguh

   ii.            Bank membeli balik barang itu daripada pelanggan dengan harga yang kurang daripada harga jual secara tangguh

 iii.            Pelanggan menerima wang tunai, dan pelanggan akan bayar secara bertangguh sehingga selesai.
        i.            Bank akan membeli barang x untuk dijual kepada pelanggan.
      ii.            Pelanggan membeli barang itu dengan harga tertentu dan meminta bank menjual balik kepada orang lain
    iii.            Bank akan jual balik kepada pihak ketiga dengan harga tunai